
Baca atau dengar petikan berikutnya
1 Pada masa itu Yohanes Pembaptis menyampaikan berita ini di gurun di Yudea.
2 Dia berseru, “Bertaubatlah, kerana kerajaan syurga hampir tiba!”
3 Yohaneslah yang dimaksudkan dalam nubuat Nabi Yesaya:
“Suara seorang berseru di gurun:
‘Sediakanlah jalan untuk Tuhan,
luruskanlah jalan untuk-Nya.’ ”
4 Pakaian Yohanes diperbuat daripada bulu unta dan tali pinggangnya daripada kulit. Makanannya belalang dan madu gurun. 5 Orang dari Yerusalem, seluruh Yudea dan segenap kawasan sekitar Sungai Yordan datang mendapatkan Yohanes. 6 Mereka mengakui dosa mereka lalu dibaptiskan oleh Yohanes di Sungai Yordan.
7 Ramai orang Farisi dan Saduki datang untuk dibaptiskan. Apabila melihat mereka, Yohanes berkata, “Hai, kamu bagaikan ular kapak berbisa! Siapakah yang mengingatkan kamu supaya melepaskan diri daripada kemurkaan Allah kelak? 8 Buktikanlah dengan perbuatan bahawa kamu telah bertaubat. 9 Jangan sangka kamu dapat berkata sesama sendiri, ‘Abraham bapa moyang kita.’ Ketahuilah, Allah berkuasa menjadikan batu-batu ini anak cucu Abraham! 10 Kapak sudah terletak pada akar umbi pokok. Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dihumbankan ke dalam api. 11 Aku membaptismu dengan air untuk menunjukkan bahawa kamu telah bertaubat. Tetapi Dia yang datang selepasku akan membaptismu dengan Roh Kudus dan api; Dia lebih berkuasa daripadaku; membawakan kasut-Nya pun aku tidak layak. 12 Tangan-Nya memegang nyiru untuk menampi. Dia akan membersihkan tempat pembantingan dan mengumpulkan gandum di dalam jelapang-Nya tetapi sekam akan dibakar-Nya di dalam api yang tidak dapat dipadamkan.”
Yesus dibaptiskan
13 Ketika itu, Yesus meninggalkan Galilea lalu pergi ke Sungai Yordan untuk dibaptiskan oleh Yohanes.
14 Akan tetapi, Yohanes cuba menolak dengan berkata, “Sepatutnya Engkau yang membaptisku. Ini Engkau pula datang kepadaku!”
15 Tetapi Yesus menjawab, “Biarkanlah demikian untuk sekarang, kerana dengannya kita akan menunaikan segala perbenaran.” Yohanes pun patuh.
16 Setelah dibaptiskan, Yesus keluar dari air dengan segera. Lalu terbukalah langit dan Dia melihat Roh Allah turun seperti burung merpati ke atas-Nya. 17 Kemudian kedengaran suara dari syurga, “Inilah Anak-Ku yang Kukasihi dan dengan-Nya Aku berkenan.”
Yesus, Anak Domba Allah
29 Pada keesokan harinya, Yohanes melihat Yesus berjalan ke arahnya lalu berseru, “Lihatlah Anak Domba Allah yang menghapuskan dosa umat manusia!
30 Dialah yang kukatakan akan datang selepasku tetapi lebih besar daripadaku kerana Dia telah ada sebelumku.
31 Dahulu aku tidak mengenal Dia. Tetapi untuk itulah aku datang dan membaptis orang dengan air, supaya Dia dinyatakan kepada Israel.”
32 Yohanes memberikan kesaksian: “Aku melihat Roh seperti burung merpati turun dari langit lalu hinggap di atas-Nya. 33 Dahulu aku sendiri pun tidak mengenal-Nya, tetapi Dia yang mengutusku untuk membaptis orang dengan air telah berfirman kepadaku, ‘Engkau akan melihat Roh turun lalu hinggap di atas seorang. Dialah yang akan membaptis orang dengan Roh Kudus.’ 34 Hal itu telah kulihat sendiri, maka aku berkata kepadamu, Dialah Anak Allah.”
Ambillah masa untuk menceritakan semula dengan kata-kata sendiri. Cakaplah dengan suara kuat yang boleh didengar, atau tuliskannya. Jika anda terlupa atau tidak dapat mengingat cerita itu, baca atau dengar semula.
Jika anda pernah mendengar cerita ini, ambil masa sebentar untuk merenungkan atau membincangkan soalan-soalan berikut:
Get Discovery Bible Studies on your phone
Discover copyright ©2015-2026 discoverapp.org
Malay Scripture verses Alkitab Versi Borneo ©2015 Borneo Sabda Limited. Used with permission. All rights reserved.