
Baca atau dengar petikan berikutnya
Kedurjanaan manusia
1 Ketika manusia mula menjadi semakin ramai di muka bumi, dan mereka melahirkan anak-anak perempuan,
2 anak-anak Allah melihat betapa elok paras rupa anak perempuan manusia itu. Lalu mereka memperisteri sesiapa sahaja perempuan yang dipilih mereka.
3 Maka Tuhan berfirman, “Roh-Ku tidak selama-lamanya akan menyertai manusia yang fana fitrahnya. Umur mereka akan cuma 120 tahun sahaja.”
4 Orang Nefilim juga menghuni bumi pada zaman itu, dan juga pada zaman sesudahnya, iaitu ketika anak-anak Allah meniduri anak perempuan manusia yang seterusnya melahirkan anak untuk para manusia itu. Golongan manusia itulah para wira gagah perkasa pada zaman purba yang termasyhur nama mereka.
5 Namun begitu, Tuhan melihat kejahatan manusia besar di bumi, dan segala hasrat dan kecenderungan hati mereka sentiasa tertumpu pada kejahatan sahaja. 6 Maka menyesallah Tuhan kerana Dia telah menjadikan manusia di bumi dan hal itu mendukakan hati-Nya. 7 Berfirmanlah Tuhan, “Aku akan menghapuskan manusia yang telah Kuciptakan itu dari muka bumi – manusia dan juga haiwan, termasuk haiwan yang melata, dan burung-burung di udara – kerana hati-Ku kesal bahawa Aku telah menjadikan kesemuanya.” 8 Tetapi Nuh mendapat rahmat di mata Tuhan.
Nuh dan banjir besar
9 Inilah riwayat Nuh. Dalam kalangan yang sezaman dengannya, Nuh seorang yang benar dan tidak tercela. Dia hidup akrab dengan Allah.
10 Nuh dikurniai tiga orang anak lelaki, iaitu Sem, Ham, dan Yafet.
11 Pada ketika itu, bumi sudah hancur di hadapan Allah dan penuh dengan keganasan.
12 Allah mengamati bumi, dan sesungguhnya betapa hancurnya bumi kerana kehidupan semua manusia bergelumang dengan dosa.
13 Maka berfirmanlah Allah kepada Nuh, “Aku telah menetapkan bahawa kesemua makhluk yang hidup mesti mati kerana bumi ini penuh dengan keganasan akibat perbuatan mereka. Sesungguhnya, Aku akan memusnahkan mereka bersama-sama bumi ini. 14 Maka kamu perlu membuat sebuah bahtera daripada kayu sipres. Buatlah bilik-bilik di dalam bahtera itu yang mesti dilapisi dengan gegala di bahagian luar dan dalamnya. 15 Kamu mesti membuat bahtera itu mengikut ukuran ini: Panjangnya 300 hasta, lebarnya 50 hasta, dan tingginya 30 hasta. 16 Buatlah lubang cahaya bagi bahtera itu dan semua binaan mesti ada ruang sehasta dari bahagian tertinggi bahtera. Pasang pintu bahtera pada rusuknya. Buatlah bahtera itu bertingkat bawah, tengah, dan atas. 17 Ketahuilah, Aku akan mendatangkan banjir untuk melanda bumi demi memusnahkan semua makhluk yang bernyawa di bawah langit dan semua hidupan di bumi akan mati. 18 Akan tetapi, Aku mengikat perjanjian-Ku dengan kamu. Kamu berserta anak-anakmu, isterimu, dan isteri anak-anakmu akan masuk ke dalam bahtera itu. 19 Sepasang iaitu jantan dan betina daripada segala makhluk yang hidup mesti kamu bawa masuk ke dalam bahtera, supaya kesemuanya dapat tetap hidup bersama-samamu. 20 Sepasang daripada berbagai-bagai jenis burung, berbagai-bagai jenis haiwan, dan segala jenis binatang melata di bumi akan datang kepadamu supaya kesemuanya dapat tetap hidup. 21 Kamu juga mesti mengumpulkan segala bahan yang dapat dimakan dan menyimpannya. Itulah yang akan menjadi makanan bagimu dan bagi kesemua makhluk itu.” 22 Maka sebagaimana yang diperintahkan Allah kepadanya, sebegitulah yang dilakukan oleh Nuh.
Banjir besar
1 Tuhan berfirman kepada Nuh, “Masuklah kamu berserta seisi keluargamu ke dalam bahtera, kerana Aku lihat engkaulah orang yang benar dalam kalangan yang sezaman denganmu.
2 Bawalah tujuh pasang yakni jantan dan betina, daripada segala binatang yang halal dan sepasang daripada binatang yang tidak halal
3 serta tujuh pasang, yakni jantan dan betina, daripada burung-burung di udara, supaya baka kesemuanya itu dapat dikekalkan di seluruh muka bumi.
4 Sebab tujuh hari lagi Aku akan menurunkan hujan ke atas bumi ini empat puluh hari empat puluh malam lamanya, dan kesemua makhluk yang telah Kujadikan itu akan Kuhapuskan dari muka bumi.”
5 Lalu Nuh melaksanakan segala-galanya yang diperintahkan Tuhan kepadanya.
6 Nuh berusia 600 tahun semasa banjir besar melanda bumi. 7 Lalu Nuh bersama-sama anak-anaknya, isterinya, dan menantu-menantu perempuannya masuklah ke dalam bahtera itu untuk menyelamatkan diri daripada banjir yang melanda bumi itu. 8 Pasangan segala binatang yang halal dan yang tidak halal, burung-burung, serta segala yang merayap di bumi, 9 yakni yang jantan dan betinanya datang kepada Nuh di dalam bahtera itu sebagaimana yang diperintahkan Allah kepada Nuh. 10 Maka setelah tujuh hari, banjir pun melanda bumi.
11 Ketika Nuh berusia 600 tahun, pada hari ketujuh belas, bulan kedua, meledaklah kesemua mata air samudera raya, dan pintu air di langit terbuka. 12 Lalu mencurah-curahlah hujan turun ke atas bumi selama empat puluh hari dan empat puluh malam. 13 Pada hari itu juga, Nuh berserta anak-anaknya, iaitu Sem, Ham, dan Yafet, juga isterinya dan ketiga-tiga orang menantu perempuannya, masuk ke dalam bahtera. 14 Mereka diiringi segala jenis makhluk yang hidup mengikut jenisnya yakni segala jenis haiwan liar dan haiwan ternakan, segala jenis binatang melata yang merayap di bumi, dan segala jenis burung, iaitu segala unggas yang bersayap. 15 Kesemuanya, daripada segala makhluk hidup yang bernyawa, berpasang-pasangan datang kepada Nuh dan masuk ke dalam bahtera. 16 Semua yang masuk ke dalam bahtera itu ialah jantan dan betina seperti yang diperintahkan Allah kepada Nuh. Kemudian Tuhan menutup pintu bahtera itu setelah Nuh masuk.
17 Empat puluh hari lamanya banjir melanda bumi dan air itu terus naik sehingga mengangkat bahtera itu tinggi dari bumi. 18 Air semakin tinggi dan melonjak di atas bumi, dan bahtera itu pun terapung-apung di permukaan air. 19 Begitu kuatnya pelimpahan air di muka bumi sehingga mengatasi gunung-ganang yang tinggi yang ada lantas tertutuplah seluruh kolong langit. 20 Air itu terus berlimpahan hingga melitupi lima belas hasta di atas segala gunung. 21 Maka tamatlah hayat semua makhluk yang bergerak di muka bumi iaitu burung-burung, haiwan ternakan, binatang liar, segala kawanan binatang kecil di bumi serta semua manusia. 22 Matilah semua yang ada di darat, iaitu semua yang bernafas dengan hidungnya. 23 Begitulah bagaimana Tuhan menghapuskan segala makhluk hidup yang ada di muka bumi, baik manusia, haiwan, binatang yang melata, mahupun burung-burung iaitu makhluk di udara. Kesemuanya dihapuskan dari muka bumi. Hanya Nuh serta semua yang ada bersama-samanya dalam bahtera itu selamat. 24 Jadi, selama 150 hari banjir berleluasa di muka bumi.
Surutnya banjir besar
1 Allah memberikan perhatian kepada Nuh dan segala binatang liar serta segala haiwan ternakan yang ada bersama-samanya dalam bahtera itu. Lalu Allah membuat angin yang bertiup lantas mulalah surut air banjir itu.
2 Tertutuplah segala mata air samudera raya; begitu jua tertutupnya pintu-pintu air di langit lantas teduh dan seterusnya terhentilah hujan yang turun dari langit.
3 Air semakin surut dari muka bumi, dan selepas 150 hari air banjir itu sudah berkurang.
4 Lalu pada hari ketujuh belas pada bulan ketujuh, bahtera itu pun terkandas di Pergunungan Ararat.
5 Air terus berkurang sehingga bulan kesepuluh. Lalu pada hari pertama pada bulan kesepuluh itu puncak-puncak gunung sudah kelihatan.
6 Empat puluh hari kemudian, Nuh membuka jendela bahtera yang dibuatnya, 7 lalu dia melepaskan seekor burung gagak. Burung itu terbang mundar-mandir sehingga kering air di permukaan bumi. 8 Kemudian dia melepaskan seekor burung merpati untuk melihat seandainya telah surut sepenuhnya air dari atas permukaan bumi. 9 Namun begitu, burung merpati itu tidak menemukan tempat untuk hinggap kerana air masih meliputi seluruh permukaan bumi. Maka kembalilah merpati itu kepada Nuh di dalam bahtera itu. Nuh menghulurkan tangannya lantas mengambil dan membawa burung itu masuk ke dalam bahtera. 10 Setelah menunggu selama tujuh hari, sekali lagi Nuh melepaskan burung merpati itu dari bahtera. 11 Pada petang harinya, burung merpati itu pulang mendapatkan Nuh, dan di paruhnya tersepit sehelai daun zaitun yang baru dipetik. Lalu tahulah Nuh bahawa air sudah surut dari permukaan bumi. 12 Selepas menunggu selama tujuh hari lagi, sekali lagi Nuh melepaskan burung merpati itu, dan burung itu tidak lagi kembali kepadanya.
13 Pada tahun 601, pada hari pertama dalam bulan pertama, air surut sepenuhnya dari permukaan bumi. Ketika Nuh membuka atap bahtera itu, kelihatan betapa permukaan tanah sudah kering. 14 Seterusnya pada hari kedua puluh tujuh pada bulan kedua, bumi memang sudah benar-benar kering.
15 Berfirmanlah Allah kepada Nuh, 16 “Keluarlah dari bahtera itu, engkau berserta isterimu, anak-anakmu, dan para menantu perempuanmu. 17 Bawalah keluar kesemua makhluk bernyawa yang ada bersama-samamu, iaitu segala burung, haiwan, dan segala binatang melata yang merayap di bumi. Biarkan kesemua makhluk itu memenuhi bumi, berkembang biak, dan bertambah banyak di bumi.” 18 Maka keluarlah Nuh berserta anak-anaknya, isterinya, dan para menantu perempuannya. 19 Seterusnya keluar pula dari bahtera itu menurut jenisnya segala haiwan liar, segala binatang melata, segala burung, iaitu semua yang bergerak di bumi.
20 Lalu Nuh mendirikan sebuah mazbah, iaitu tempat mempersembahkan korban bakaran kepada Tuhan. Maka dia mengambil beberapa ekor daripada setiap binatang yang halal dan daripada setiap jenis burung yang halal, lalu dipersembahkannya korban bakaran di atas mazbah itu.
21 Tuhan menghidu persembahan yang harum itu. Maka berfirmanlah Tuhan dalam hati-Nya, “Aku tidak akan melaknati bumi ini lagi atas sebab kemungkaran manusia. Biarpun dari kecil lagi ada sifat durjana dalam hati manusia, Aku tidak akan lagi membinasakan segala yang hidup seperti yang telah Kulakukan.
22 Selama bumi masih wujud,
tidak akan putus bertali arusnya
musim menabur dan musim menuai,
sejuk dan panas,
musim kemarau dan musim hujan,
serta siang dan malam.”
Perjanjian Allah dengan Nuh
1 Lalu Allah memberkati Nuh dan anak-anaknya dan berfirman kepada mereka, “Beranakcuculah dan bertambah ramailah, dan penuhilah bumi.
2 Setiap makhluk yang hidup dan setiap burung di udara akan berasa takut dan gentar terhadap kamu. Segala yang merayap di tanah, dan segala ikan di laut berada dalam kekuasaanmu.
3 Segala yang bergerak yang mempunyai hidup akan menjadi makananmu. Sebagaimana Aku memberimu tumbuh-tumbuhan hijau, kini Aku memberimu kesemuanya.
4 Akan tetapi, jangan kamu makan daging yang masih ada nyawanya, iaitu darahnya.
5 Atas darahmu, iaitu nyawamu, tentu Aku akan mengenakan balasan. Aku akan mengenakan balasan ke atas setiap haiwan, dan ke atas setiap manusia. Aku akan mendapatkan balasan ke atas nyawa manusia biarpun angkara tangan saudaranya.
6 Siapa menumpahkan darah manusia, manusia jua akan menumpahkan darahnya, kerana Allah telah menjadikan manusia menurut gambaran-Nya.
7 Tetapi kamu, beranakcuculah dan bertambah ramailah. Penuhilah bumi dan bertambah ramailah di atasnya.”
8 Lalu Allah berfirman lagi kepada Nuh dan kepada anak-anaknya yang ada bersama-samanya, 9 “Sesungguhnya, Aku menetapkan perjanjian-Ku dengan kamu dan keturunanmu kelak, 10 dengan semua makhluk bernyawa yang ada bersama-samamu – termasuk segala burung, haiwan ternakan, dan segala jenis haiwan yang ada bersama-samamu – semua yang keluar dari bahtera, iaitu segala makhluk yang hidup di bumi. 11 Aku menetapkan perjanjian-Ku dengan kamu: tidak akan berlaku lagi kejadian kesemua makhluk dilenyapkan oleh air banjir, dan tidak akan berlaku lagi banjir yang memusnahkan bumi.” 12 Allah pun berfirman, “Inilah tanda perjanjian yang Kuadakan antara Aku dengan kamu dan dengan segala makhluk hidup yang ada bersama-samamu, turun-temurun, untuk selama-lamanya: 13 Akan Kuwujudkan pelangi di awang-awangan, dan itulah yang menjadi tanda jaminan bagi perjanjian antara Aku dengan bumi. 14 Apabila Aku mengadakan awan yang berarak di muka bumi dan pelangi terlihat di awang-awangan, 15 maka Aku akan mengingati perjanjian-Ku antara Aku dengan kamu dan dengan segala jenis makhluk yang bernyawa. Tidak akan berlaku lagi kejadian air menjadi banjir demi memusnahkan segala hidupan. 16 Apabila muncul pelangi di awang-awangan, maka Aku akan melihatnya dan mengingati perjanjian abadi antara Allah dengan segala jenis hidupan yang ada di bumi.” 17 Kemudian Allah berfirman kepada Nuh, “Inilah jaminan bagi perjanjian yang Aku sahkan antara Aku dengan segala hidupan yang ada di bumi.”
Ambillah masa untuk menceritakan semula dengan kata-kata sendiri. Cakaplah dengan suara kuat yang boleh didengar, atau tuliskannya. Jika anda terlupa atau tidak dapat mengingat cerita itu, baca atau dengar semula.
Jika anda pernah mendengar cerita ini, ambil masa sebentar untuk merenungkan atau membincangkan soalan-soalan berikut:
Get Discovery Bible Studies on your phone
Discover copyright ©2015-2026 discoverapp.org
Malay Scripture verses Alkitab Versi Borneo ©2015 Borneo Sabda Limited. Used with permission. All rights reserved.