
Baca atau dengar petikan berikutnya
Yesus memberi lima ribu orang makanan
1 Setelah itu, Yesus pergi ke seberang Laut Galilea yang juga dipanggil Laut Tiberias.
2 Ramai orang mengikut-Nya setelah melihat mukjizat-Nya menyembuhkan orang sakit.
3 Yesus mendaki sebuah bukit lalu duduk di situ bersama murid-murid-Nya.
4 Pada masa itu Perayaan Paskah orang Yahudi hampir tiba.
5 Apabila Yesus memandang sekeliling dan melihat ramai orang datang ke arah-Nya, Dia berkata kepada Filipus, “Dari manakah dapat kita beli makanan untuk semua mereka ini?”
6 (Sebenarnya Yesus bertanya itu untuk menduga Filipus sahaja kerana Dia tahu apa yang akan dilakukan-Nya.)
7 Filipus menjawab, “Roti yang berharga dua ratus dinar pun tidak cukup, meskipun jika dibahagi secebis seorang.”
8 Seorang lagi murid Yesus yang bernama Andreas, saudara Simon Petrus, berkata kepada-Nya, 9 “Ada seorang budak di sini yang mempunyai lima buku roti barli dan dua ekor ikan. Tetapi tidak mungkin akan cukup untuk orang seramai ini!”
10 Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Ajaklah mereka duduk.” (Di situ ada banyak rumput.) Mereka itu pun duduk, kira-kira lima ribu orang lelaki semuanya. 11 Yesus mengambil roti itu lalu mengucap syukur kepada Allah. Selepas itu, Dia membahagi-bahagikan roti itu kepada mereka yang duduk di sini. Kemudian Dia membahagi-bahagikan ikan itu pula sebanyak yang dikehendaki mereka. 12 Setelah kenyang semuanya, Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Kumpulkanlah baki makanan, jangan ada yang terbuang.” 13 Lalu mereka mengumpulkannya dan mengisi dua belas bakul baki makanan daripada lima buku roti barli yang dimakan oleh orang ramai itu.
14 Apabila mereka melihat mukjizat yang dilakukan oleh Yesus itu, mereka pun berkata, “Memang Dialah Nabi yang dinanti-nantikan datang ke dunia!” 15 Yesus tahu bahawa mereka hendak datang dan memaksa-Nya menjadi raja. Oleh itu, Dia beredar sekali lagi ke bukit seorang diri.
Yesus berjalan di atas air
16 Setelah senja hari, para murid Yesus turun ke tasik.
17 Mereka menaiki perahu menyeberangi tasik itu ke Kapernaum. Hari sudah gelap namun Yesus belum pulang mendapatkan mereka.
18 Ketika itu tasik mulai bergelombang kerana angin bertiup kencang.
19 Setelah para murid Yesus berkayuh tiga atau tiga setengah batu, mereka terpandang Dia berjalan di atas air ke arah perahu mereka, lalu mereka pun ketakutan.
20 Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Jangan takut, Aku Yesus!”
21 Barulah mereka mahu menyambut-Nya naik ke perahu. Pada saat itu juga tibalah perahu itu ke tempat yang dituju.
22 Pada keesokan harinya, orang ramai yang berada di seberang tasik menyedari bahawa di situ hanya ada sebuah perahu dan Yesus tidak menaiki perahu itu. Mereka tahu bahawa para murid Yesus telah bertolak menaiki perahu itu tanpa-Nya. 23 Kemudian, beberapa buah perahu dari Tiberias berlabuh dekat tempat orang ramai makan roti selepas Tuhan mengucap syukur. 24 Apabila mereka tidak melihat Yesus atau murid-murid-Nya, mereka pun menaiki perahu-perahu itu menuju ke Kapernaum untuk mencari Yesus.
Roti hidup
25 Ketika mereka bertemu dengan Yesus di seberang tasik, mereka bertanya kepada-Nya, “Rabbi, bilakah Engkau sampai ke mari?”
26 Yesus menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kamu mencari-Ku bukan kerana kamu telah melihat tanda-tanda mukjizat, tetapi kerana kamu telah dapat makan sehingga kenyang. 27 Janganlah berusaha mendapatkan makanan yang boleh basi. Berusahalah mendapatkan makanan yang dapat bertahan sampai hidup kekal. Itulah makanan yang akan diberikan kepadamu oleh Anak Manusia, kerana Allah Bapa telah memateraikan-Nya.”
28 Mereka bertanya kepada-Nya, “Apakah yang mesti kami buat untuk melaksanakan pekerjaan yang dikehendaki Allah?”
29 Yesus berkata, “Inilah pekerjaan yang dikehendaki Allah iaitu supaya kamu percaya kepada Dia yang diutus-Nya.”
30 Mereka bertanya kepada-Nya, “Apakah tanda ajaib yang dapat Kautunjukkan supaya kami melihatnya lalu percaya kepada-Mu? Apakah yang dapat Kaulakukan? 31 Nenek moyang kami makan manna di gurun, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci: ‘Dia memberikan roti dari syurga untuk dimakan oleh mereka.’ ”
32 Lalu Yesus berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, bukanlah Musa yang memberimu roti dari syurga tetapi Bapa-Ku yang memberimu roti sebenar dari syurga. 33 Roti yang diberikan oleh Allah ialah Dia yang turun dari syurga dan memberi hidup kepada manusia di dunia.”
34 Kemudian mereka berkata, “Tuhan, berilah kami roti itu selalu.”
35 Yesus berkata kepada mereka, “Akulah roti hidup itu. Sesiapa yang datang kepada-Ku tidak akan lapar lagi, dan sesiapa yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga lagi.
36 Telah Kukatakan kepadamu, bahawa kamu telah melihat-Ku, namun tidak percaya kepada-Ku. 37 Semua yang diberikan kepada-Ku oleh Bapa akan datang kepada-Ku. Aku tidak akan menolak seorang pun yang datang kepada-Ku.
Ambillah masa untuk menceritakan semula dengan kata-kata sendiri. Cakaplah dengan suara kuat yang boleh didengar, atau tuliskannya. Jika anda terlupa atau tidak dapat mengingat cerita itu, baca atau dengar semula.
Jika anda pernah mendengar cerita ini, ambil masa sebentar untuk merenungkan atau membincangkan soalan-soalan berikut:
Get Discovery Bible Studies on your phone
Discover copyright ©2015-2026 discoverapp.org
Malay Scripture verses Alkitab Versi Borneo ©2015 Borneo Sabda Limited. Used with permission. All rights reserved.