Penemuan Alkitab

Pelajaran 2

Penciptaan: Allah menciptakan manusia

Kejadian 2:4-24

Langkah 1: Baca cerita

Baca atau dengar petikan berikutnya

x1.0

4 Demikianlah riwayat langit dan bumi ketika diciptakan.

Pada masa Tuhan Allah menjadikan bumi dan langit 5 belum ada rumpun semak dan belukar apa-apa pun di bumi, belum muncul tumbuh-tumbuhan apa-apa pun di padang, kerana Tuhan Allah, belum menurunkan hujan ke bumi, dan belum ada orang yang mengusahakan tanah itu, 6 tetapi dari bumi ada kabus yang naik ke atas lantas membasahi seluruh permukaan bumi.

7 Ketika itulah Tuhan Allah membentuk manusia daripada debu tanah dan menghembuskan nafas hidup ke dalam hidungnya lalu manusia menjadi makhluk yang hidup.

Adam dan Hawa di Taman Eden
8 Selanjutnya Tuhan Allah membuat taman di Eden, di sebelah timur dan di situlah Dia menempatkan manusia yang dibentuk-Nya itu. 9 Lalu dari bumi itu Tuhan Allah menumbuhkan setiap jenis pokok. Ada yang menarik untuk dipandang dan yang baik untuk dimakan buahnya, termasuk juga pokok hayat di tengah-tengah taman itu serta pokok pengetahuan mengenai perkara yang baik dan yang jahat.

10 Sebuah sungai mengalir dari Eden mengairi taman dan dari situ bercabanglah sungai itu menjadi empat batang sungai. 11 Sungai yang pertama yang bernama Pison itu mengalir mengelilingi seluruh Tanah Hawila di mana terdapat emas. 12 Emas di situ bermutu baik dan ada juga batu permata damar dan oniks. 13 Sungai yang kedua yang bernama Gihon, mengalir mengelilingi seluruh Tanah Kush. 14 Sungai ketiga yang bernama Tigris pula mengalir di sebelah timur Asyur. Sungai yang keempat ialah Efrat.

15 Tuhan Allah mengambil manusia itu dan menempatkannya di dalam Taman Eden untuk mengerjakan serta memelihara taman itu. 16 Lalu Tuhan Allah memberikan perintah kepada manusia itu, firman-Nya, “Engkau bebas memakan daripada kesemua pokok di dalam taman ini; 17 tetapi jangan engkau makan daripada pokok pengetahuan tentang perkara yang baik dan yang jahat kerana pada hari engkau memakannya, engkau pasti mati.”

18 Maka Tuhan Allah pun berfirman, “Tidak baik manusia itu bersendirian. Aku akan menjadikan seorang penolong yang sepadan baginya.” 19 Lalu daripada tanah Tuhan Allah membentuk segala binatang di padang dan segala burung di udara dan membawa semua mergastua itu kepada manusia untuk melihat bagaimana manusia itu menamai setiapnya. Apa pun nama yang diberikan manusia itu kepada setiap mergastua dan unggas, itulah yang menjadi namanya. 20 Maka manusia itu menamakan segala ternakan, burung-burung di udara, dan segala haiwan di padang, namun begitu, bagi dirinya sendiri manusia itu tiada seorang pun penolong yang sepadan baginya.

21 Maka Tuhan Allah membuat manusia itu tertidur dengan lena dan sewaktu itulah Dia mengambil sebatang tulang rusuknya lalu menutup ruang lama tulang itu dengan daging. 22 Daripada tulang rusuk yang diambil-Nya daripada manusia itu Tuhan Allah membentuk seorang perempuan lalu membawanya kepada manusia itu. 23 Berkatalah manusia itu,
   “Ini dia! Tulang daripada tulangku,
     dan daging daripada dagingku.
   Dia akan dipanggil Perempuan
     kerana dia diambil daripada Lelaki.”

24 Itulah maka seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka berdua menjadi satu.

Langkah 2: Cerita Semula

Ambillah masa untuk menceritakan semula dengan kata-kata sendiri. Cakaplah dengan suara kuat yang boleh didengar, atau tuliskannya. Jika anda terlupa atau tidak dapat mengingat cerita itu, baca atau dengar semula.

Langkah 3: Temukan Cerita

Jika anda pernah mendengar cerita ini, ambil masa sebentar untuk merenungkan atau membincangkan soalan-soalan berikut:


Get it on Google Play
Download on the App Store

Get Discovery Bible Studies on your phone

Discover copyright ©2015-2025 discoverapp.org

Malay Scripture verses Alkitab Versi Borneo ©2015 Borneo Sabda Limited. Used with permission. All rights reserved.