Penemuan Alkitab

Pelajaran 27

Penebusan: Yesus disalibkan

Lukas 23:32-56

Langkah 1: Baca cerita

Baca atau dengar petikan berikutnya

x1.0

32 Ada dua orang lain, iaitu kedua-duanya penjahat, yang akan dibunuh bersama Yesus. 33 Setelah mereka sampai ke tempat yang bernama, “Tengkorak,” mereka pun menyalib Yesus dan kedua-dua orang penjahat itu, seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri-Nya. 34 Yesus berkata, “Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan mereka.” Mereka membahagi-bahagikan pakaian-Nya dengan membuang undi. 35 Orang ramai yang berdiri di situ memandang sahaja sementara para pemimpin masyarakat mengejek-Nya, “Orang lain diselamatkan-Nya; biarlah Dia menyelamatkan diri-Nya sekarang jika Dia sesungguhnya Kristus yang dipilih oleh Allah.”

36 Askar-askar juga memperolok-olokkan Yesus. Mereka menghampiri-Nya dan membawa air anggur masam kepada-Nya 37 lalu berkata, “Jika Engkau Raja orang Yahudi, selamatkanlah diri-Mu.”

38 Pada sebelah atas kayu salib Yesus tertulis kata-kata: “Inilah Raja orang Yahudi.”

39 Seorang daripada penjahat yang disalib di situ mula mencela-Nya. Dia berkata, “Bukankah Engkau Kristus? Selamatkanlah diri-Mu dan kami!”

40 Tetapi seorang penjahat lagi menegurnya, “Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita sama-sama dihukum mati. 41 Bagi kita, hukuman ini adil kerana kita menerima balasan yang setimpal; tetapi orang ini tidak melakukan kesalahan apa-apa.” 42 Dia berkata kepada Yesus, “Ya Yesus, ingatilah aku ketika Engkau menaiki takhta kerajaan-Mu.”

43 Yesus menjawab, “Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, pada hari ini juga engkau akan bersama-Ku dalam Firdaus.”

Kematian Yesus
44 Ketika itu kira-kira jam keenam hingga jam kesembilan, seluruh negeri itu diselubungi kegelapan, 45 kerana matahari berhenti bersinar. Tirai yang tergantung di dalam Bait Suci pun terbelah dua. 46 Yesus berseru dengan kuat, “Ya Bapa, Aku menyerahkan roh-Ku ke dalam tangan-Mu!” Setelah Yesus berkata demikian, Dia pun menghembus nafas-Nya yang terakhir.

47 Ketua tentera yang menyaksikan apa yang telah terjadi memuji Allah, “Sesungguhnya, orang ini orang yang benar.”

48 Orang ramai yang telah berkumpul untuk menyaksikan peristiwa itu, pulang menebah dada mereka. 49 Semua sahabat Yesus, termasuk perempuan-perempuan yang telah mengikut Dia dari Galilea, berdiri dari jauh untuk menyaksikan segala perkara ini.

Yesus dimakamkan
50 Terdapat seorang bernama Yusuf yang berasal dari kota Arimatea di negeri Yudea. Dia seorang yang baik dan benar. 51 Walaupun seorang anggota Majlis Agama, dia tidak bersetuju dengan keputusan dan tindakan majlis itu. Dia juga sedang menantikan kerajaan Allah. 52 Dia pergi menghadap Pilatus untuk meminta jenazah Yesus. 53 Kemudian, Yusuf menurunkan jenazah itu daripada salib, mengafankannya dengan kain linen lalu membaringkannya di dalam sebuah makam yang dipahat pada bukit batu. Makam itu belum pernah digunakan. 54 Hari itu ialah hari Persiapan, dan hari Sabat hampir bermula.

55 Perempuan-perempuan yang telah mengikut Yesus dari Galilea pergi bersama Yusuf untuk melihat makam itu dan bagaimana jenazah Yesus diletakkan di dalamnya. 56 Kemudian, mereka pulang lalu menyediakan rempah-rempah yang harum dan minyak wangi-wangian untuk jenazah Yesus.

Pada hari Sabat mereka berehat mengikut hukum Taurat.

Langkah 2: Cerita Semula

Ambillah masa untuk menceritakan semula dengan kata-kata sendiri. Cakaplah dengan suara kuat yang boleh didengar, atau tuliskannya. Jika anda terlupa atau tidak dapat mengingat cerita itu, baca atau dengar semula.

Langkah 3: Temukan Cerita

Jika anda pernah mendengar cerita ini, ambil masa sebentar untuk merenungkan atau membincangkan soalan-soalan berikut:


Get it on Google Play
Download on the App Store

Get Discovery Bible Studies on your phone

Discover copyright ©2015-2026 discoverapp.org

Malay Scripture verses Alkitab Versi Borneo ©2015 Borneo Sabda Limited. Used with permission. All rights reserved.