
Baca atau dengar petikan berikutnya
Kebangkitan Yesus
1 Pada hari pertama minggu itu ketika masih awal pagi lagi, mereka pun pergi ke makam dengan membawa ramuan rempah yang telah disediakan mereka.
2 Mereka mendapati batu penutup makam itu telah digulingkan dari makam.
3 Apabila mereka masuk ke dalam, jenazah Tuhan Yesus tiada lagi.
4 Mereka berdiri di situ dan berasa kebingungan tentang perkara ini. Tiba-tiba ada dua orang yang berpakaian berkilau-kilauan, berdiri di sisi mereka.
5 Perempuan-perempuan itu sangat takut lalu menundukkan muka ke tanah. Kedua-dua orang itu berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu mencari Dia yang hidup di antara orang mati?
6 Dia tiada di sini. Dia sudah bangkit! Ingatlah apa yang telah dikatakan oleh-Nya kepadamu ketika Dia di Galilea:
7 ‘Anak Manusia harus diserahkan kepada orang berdosa. Dia akan disalib dan bangkit pada hari yang ketiga.’ ”
8 Mereka pun teringatlah akan kata-kata Yesus. 9 Sekembali mereka dari makam itu, mereka memberitahu segala perkara ini kepada sebelas orang rasul dan semua pengikut yang lain. 10 Mereka, iaitu Maria orang Magdalena, Yohana, Maria, ibu Yakobus dan perempuan-perempuan yang lain mengatakan segala perkara itu kepada rasul-rasul itu. 11 Tetapi mereka itu menganggap apa yang dikatakan oleh perempuan-perempuan itu sebagai karut lalu tidak percaya kepada mereka. 12 Tetapi Petrus bangun dan berlari ke makam itu. Dia membongkok ke dalam lalu nampak kain kafan linen sahaja di situ. Dia pulang dengan hairan sambil memikirkan apa yang telah berlaku.
Perjalanan ke kampung Emaus
13 Pada hari itu juga dua orang antara murid Yesus sedang dalam perjalanan ke sebuah kampung yang bernama Emaus, kira-kira tujuh batu jauhnya dari Yerusalem.
14 Kedua-duanya berbual-bual tentang segala yang telah berlaku itu.
15 Ketika mereka berbual-bual dan berbincang, Yesus sendiri menghampiri mereka lalu berjalan bersama-sama.
16 Mereka nampak Yesus tetapi mereka tidak mengenali Dia.
17 Yesus berkata kepada mereka, “Apakah perkara-perkara yang sedang kamu bincangkan dalam perjalanan kamu ini?”
Mereka pun berhenti di situ dengan berwajah murung. 18 Seorang daripadanya yang bernama Kleopas bertanya kepada Yesus, “Engkaukah satu-satunya orang di Yerusalem yang belum mengetahui peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam beberapa hari ini?”
19 Yesus berkata, “Apakah yang telah berlaku?”
Mereka menjawab, “Segala perkara yang berlaku kepada Yesus, orang Nazaret. Dia seorang nabi. Di hadapan Allah dan pada pandangan orang, Dia berkuasa dalam apa yang dikatakan dan dilakukan-Nya. 20 Ketua-ketua imam dan para pemimpin kita telah menyerahkan-Nya untuk dijatuhi hukuman mati lalu mereka menyalib-Nya. 21 Kami telah berharap bahawa Dialah yang akan membebaskan Israel. Tambahan lagi, hari ini ialah hari yang ketiga semenjak perkara-perkara itu telah berlaku. 22 Beberapa orang perempuan daripada golongan kami telah menakjubkan kami. Mereka telah siang-siang ke makam pada pagi tadi. 23 Akan tetapi, mereka tidak mendapati jenazah-Nya. Mereka pulang menceritakan bahawa mereka nampak malaikat-malaikat yang memberitahu mereka bahawa Dia hidup. 24 Beberapa orang daripada kumpulan kami telah pergi ke makam itu dan mendapati sebagaimana yang dikatakan oleh perempuan-perempuan itu, tetapi mereka tidak nampak Dia.”
25 Kemudian, Yesus berkata kepada mereka, “Betapa bodohnya kamu! Betapa lambatnya hatimu percaya akan segala kata nabi-nabi! 26 Bukankah Kristus harus menderita sedemikian untuk mencapai kemuliaan-Nya?” 27 Lalu Yesus menerangkan kepada mereka apa yang tersurat tentang-Nya dalam seluruh Kitab Suci mulai kitab-kitab Musa sehingga semua kitab para nabi yang lain.
28 Apabila mereka menghampiri kampung yang dituju mereka itu, Yesus kelihatan seolah-olah Dia hendak meneruskan perjalanan. 29 Tetapi kedua-dua orang itu menjemput-Nya dengan berkata, “Bermalamlah dengan kami kerana hari hampir senja dan mulai gelap.” Dia pun masuk ke rumah dan bermalam dengan mereka. 30 Ketika Dia duduk untuk makan bersama mereka, Dia mengambil roti dan mengucap syukur. Dia membahagikan roti itu lalu memberikannya kepada mereka. 31 Pada ketika itu juga mata mereka dicelikkan dan mereka pun mengenali Dia. Lalu Dia lenyap daripada pandangan mereka. 32 Mereka berkata satu sama lain, “Bukankah hati kita meluap-luap ketika Dia berkata-kata kepada kita dalam perjalanan tadi dan semasa Dia menerangkan Kitab Suci kepada kita?”
33 Mereka terus bangun dan kembali ke Yerusalem. Mereka mendapati sebelas murid itu berkumpul dengan pengikut yang lain. 34 Mereka berkata, “Sesungguhnya, Tuhan telah bangkit. Dia menampakkan diri-Nya kepada Simon!”
35 Lalu kedua-dua orang itu menceritakan apa yang telah berlaku dalam perjalanan mereka dan bagaimana mereka telah mengenali Yesus semasa Dia membahagikan roti.
Ambillah masa untuk menceritakan semula dengan kata-kata sendiri. Cakaplah dengan suara kuat yang boleh didengar, atau tuliskannya. Jika anda terlupa atau tidak dapat mengingat cerita itu, baca atau dengar semula.
Jika anda pernah mendengar cerita ini, ambil masa sebentar untuk merenungkan atau membincangkan soalan-soalan berikut:
Get Discovery Bible Studies on your phone
Discover copyright ©2015-2026 discoverapp.org
Malay Scripture verses Alkitab Versi Borneo ©2015 Borneo Sabda Limited. Used with permission. All rights reserved.